Mereka berniat ikhlas ketika menyuarakan pandangan dan kritikan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran sama ada dalam bentuk jawatan atau kebendaan.

Golongan inilah yang sentiasa setia mempertahankan UMNO ketika parti dan kepemimpinannya diserang bertubi-tubi oleh musuh-musuh yang langsung tidak mempunyai perasaan belas kasihan.

Sebagai penghormatan kepada mereka, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menyediakan ruangan ‘Suara Akar Umbi’ sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2017 khusus bagi mengetengahkan harapan ahli-ahli yang tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Secara berterus-terang, mereka menolak amalan tidak sihat yang merosakkan parti antaranya ‘cah keting’, sabotaj calon dan boikot parti.

Ahli-ahli akar umbi juga mahu UMNO terus diperkasakan agar lebih mantap untuk menghadapi segala cabaran sama ada dari dalam atau luar parti.

Dengarlah suara mereka yang sarat dengan kejujuran walaupun disampaikan dalam gaya bahasa yang mudah serta bebas retorik.

Setinggi mana pun jawatan yang disandang dalam parti atau kerajaan, santunilah pandangan akar umbi yang sanggup mengorbankan segala kepentingan peri­badi demi memastikan UMNO tetap berdiri teguh menaungi kepentingan orang Melayu di negara ini dan membela nasib umat Islam di seluruh dunia.