Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, barisan kepemimpinan parti itu juga ditentukan sendiri oleh dua pemimpin diktatornya iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng demi memastikan legasi kepemimpinan nepotisme mereka berterusan.

Buktinya kata beliau, jawatan Naib Pengerusi yang pernah dipegangnya merupakan satu lantikan tanpa melalui sebarang pemilihan oleh perwakilan mahu pun dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

“Contohnya, hanya dua hari saya masuk DAP, saya sudah dilantik sebagai Naib Pengerusi tanpa ada apa-apa pemilihan parti. Jadi di mana demokrasinya?

“Kalau nak kata DAP ini parti demokratik, adalah salah sama sekali. Walaupun ada pemilihan parti sekali pun, pe­mimpin mereka sendiri yang tentukan. Pemilihan parti hanya wayang kulit semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kepemimpinan diktator yang diamalkan keluarga Lim dikatakan menjadi sebab utama ramai ahli DAP peringkat akar umbi di seluruh negara bertindak keluar daripada parti itu dan yang terbaharu melibatkan 182 ahli di Melaka.

Dinasti Lim terus mencengkam demokrasi dalam DAP sehinggakan pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember 2012 boleh diubah 19 hari kemudiannya iaitu pada 3 Januari 2013 atas alasan kesilapan teknikal.

Zairil Khir Johari yang pada mulanya tewas dengan 305 undi kemudiannya diisytiharkan menang dengan 803 undi. Guan Eng pula tetap memegang jawatan Setiausaha Agong walaupun undi beliau jatuh sehingga tangga kelima.

Ahli DAP mendakwa keputusan itu diubah melalui manipulasi pengiraan dalam komputer, malah sehingga hari ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum mengiktiraf keputusan pemilihan CEC parti tersebut.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz berkata, kepemim­pinan diktator DAP amat terserlah kerana mereka tidak boleh menerima sebarang teguran atau kritikan sebaliknya hanya mahu semua ahli mengikut telunjuknya.

Katanya, Penasihat DAP dan anaknya itu akan terus mengekalkan Dinasti Lim sampai bila-bila dan mana-mana ahli tidak boleh mencabar kedudukan itu selagi mereka berdua masih hidup.

“Isu pemilihan DAP masih belum selesai sampai sekarang. Sepatutnya pemilihan diadakan tahun lalu tetapi ditangguhkan kononnya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Sebenarnya ini semua permainan Guan Eng kerana beliau tidak mahu kehilangan jawatannya sebagai Setiausaha Agung kerana tempoh dua penggal yang dipegangnya akan berakhir kalau pemilihan diadakan,” katanya.