Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di Kuala Lumpur, semalam, ahli politik berusia 67 tahun itu memaparkan visi dan misi parti tersebut dan apakah benar penubuhan Putra akan memungkinkan berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu berikutan wujudnya satu lagi parti politik.

UTUSAN: Bagaimana boleh tercetus idea untuk menubuhkan parti ini?

IBRAHIM: Penubuhan Putra dilakukan selepas perbinca­ngan demi perbincangan dengan pelbagai golongan dalam tempoh sebulan. Ia mengambil kira perkembangan semasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mencetuskan kegelisahan dan perasaan tidak tenteram dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Oleh itu melalui perbincangan tersebut saya dan rakan-rakan merumuskan dan bersetuju untuk membentuk satu wadah baharu melalui penubuhan sebuah parti politik.

Tidakkah tindakan ini akan memecahbelahkan lagi orang Melayu kerana sekarang ini pun sudah ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, Amanah dan PKR?

Pada pandangan saya, parti-parti sedia ada tidak mampu menyatukan orang Melayu dan bumiputera sebaliknya lebih banyak menjadi punca perpecahan kepada golongan berkenaan. Tambahan pula, keadaan menjadi lebih buruk apabila dalam kala­ngan mereka sendiri berpecah, jadi macam mana mereka mahukan satukan ummah?

Contohnya, mereka bercakap soal silaturahim tetapi mereka sendiri memutuskan silaturahim. Justeru adakah kelompok seum­pama ini boleh diharapkan untuk menyatukan ummah khususnya orang Melayu dan bumiputera yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi mempertahankan hak-hak mereka?

Dalam soal menyatu dan membela nasib ummah, ia tidak boleh sekadar retorik tetapi dilaksanakan melalui usaha dan kita tidak boleh membiarkan nasi sudah menjadi bubur baru mahu bertindak.

Dan apa yang mendukacitakan parti-parti berkenaan dilihat mahu menjaga kaum bukan bumiputera. Oleh itu mereka takut bersuara dan tidak tegas demi menjaga serta melindungi maruah dan kepentingan Islam serta pribumi.

Putra dilahirkan bagi tujuan itu dan kita sudah pun menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Selain itu, bagi saya, kesimpulan kenapa orang Melayu berpecah ia disebabkan pemimpin bersikap hipokrit. Cakap lain buat lain.

Apa komen Datuk apabila ada yang berpandangan penubuhan parti seumpama ini sudah tidak lagi sesuai dengan senario politik sekarang?

Tidak dinafikan ada panda­ngan menyatakan senario politik sekarang tidak menyebelahi mana-mana parti yang memperjuangkan soal bangsa, tetapi di­sebabkan senario itulah kami berpendapat sekarang adalah masa amat relevan dan perlu bagi mewujudkan sebuah parti seumpama itu.

Mungkin yang mempunyai pandangan sedemikian, mereka sudah tentulah tidak selesa dengan kewujudan parti seperti Putra yang memfokuskan isu bumiputera dan Islam kerana ia akan mengganggu agenda mereka yang sudah lari daripada kontrak sosial yang dipersetujui ketika kemerdekaan.

Adakah parti ini akan mampu menarik sokongan orang muda yang majoriti kita tahu tidak begitu mempedulikan sangat soal-soal perjuangan bangsa ini?

Sebab itulah fokus utama parti ini adalah kepada golongan muda memandangkan sebahagian besar mereka semakin luntur jati diri dan semangat patriotisme. Bagi menjayakan usaha ini, kita harus fokus, gigih dan banyak bersabar. Apa yang penting jika niat perjuangan kita ikhlas untuk bangsa, agama dan negara serta dilakukan secara terancang, tidak mustahil kita akan mencapai matlamatnya.

Walaupun Datuk dikenali seorang pejuang tetapi dalam politik Datuk dilihat sudah tidak re­levan?

Itu mereka kata. Saya kata saya semakin relevan mengambil kira senario politik negara sekarang terutama cabaran yang dihadapi oleh umat Melayu. Percayalah orang Melayu dan bumiputera memerlukan pemimpin yang ada semangat pengorbanan tinggi,cekal,berani dan tidak mudah menjual maruah bangsa dan Islam demi undi dan pangkat atau jawatan.

Saya sudah lalui duri, onak dan ranjau. Alhamdulillah, rekod saya bersih dan yakin saya dilihat bersih. Apa yang saya buat dan lakukan sebelum ini banyak juga berjaya yang menyebabkan saya menjadi mang­sa kecemburuan oleh rakan-rakan sendiri apatah lagi musuh.

Ia terbukti ketika saya menerajui Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), tidak sedikit yang cemburu dan takut kepada pertubuhan itu.

Saya dianggap tidak relevan kerana menjuarai agenda bumiputera dan membela kemuliaan Islam manakala pemimpin yang dianggap relevan adalah pe­mimpin yang sanggup menjual bangsa sendiri, menjual agama atau menyokong LGBT atau bersikap liberal sehingga tidak tahu hukum-hakam agama. Kalau mereka menganggap saya tidak relevan, maka tidak perlulah gelisah de­ngan kemunculan parti baru ini.