Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yusoff Latiff berkata, ke­sedaran itu penting bagi memastikan generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba memburuk-burukkan perjuangan UMNO.

Pada masa sama, jelas beliau yang juga veteran UMNO, parti itu meskipun pada dasarnya berteraskan Melayu, namun tidak pernah mengetepikan kepenti­ngan kaum-kaum lain.

Menurutnya yang menjadi ahli UMNO sejak 21 Oktober 1947, walaupun kini sudah berusia 71 tahun, parti itu tidak pernah meninggalkan asas perjuangannya iaitu bersungguh-sungguh membela nasib penduduk seperti mana dilakukan ketika mahu membebaskan negara daripada penjajahan.

“Sejarah perjuangan UMNO tidak boleh dibiarkan luput begitu sahaja dan oleh sebab itu, saya pegang kepercayaan bahawa mana-mana pihak yang memaki UMNO boleh dianggap 'berdosa' kerana tidak menghargai pengorbanan ‘ibu’ yang telah menyelamatkan kita suatu ketika dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mohd. Yusoff yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Jelutong menambah, kewujudan parti ber­kenaan membolehkan generasi muda mendapat pendidikan tinggi menerusi Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dinamakan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, beliau menggesa kepemimpinan UMNO supaya terus bersatu kerana sekiranya parti tersebut kehilangan kuasa, generasi akan datang bakal menanggung kesan buruk.