Beliau berpendapat, debat tersebut dilihat sebagai perbincangan antara ahli keluarga UMNO yang sekali gus mempamerkan UMNO baharu dan bukan menyerang antara satu sama lain.

“Saya mengambil semua pandangan dan nasihat termasuk daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, malah saya tidak melihat debat ini sebagai tempat untuk mendedahkan kelemahan dan perkara dalaman parti.

“Pada saya, ini (debat) adalah tempat untuk membincangkan masa depan dan hala tuju UMNO serta perancangan kita apabila sudah menjadi pembangkang, siapa yang mempunyai perancangan terbaik untuk membawa parti ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau yang disempurnakan Mohamad di sini hari ini.

Debat calon Presiden UMNO melibatkan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah akan disiarkan melalui saluran Astro Awani, manakala Ahmad Zahid telah menyatakan kesediaan untuk turut serta dengan bersiaran secara langsung dari Bagan Datuk, Perak pada hari berkenaan. - UTUSAN ONLINE