Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu, seluruh rakyat harus menolak gabungan pembangkang PKR yang mengamalkan politik kebencian kerana boleh mengancam keamanan dan keharmonian negara.

“Apa yang kita ada dalam negara hari ini bukan datang secara automatik kerana semuanya dirancang kerajaan dengan me­nyaksikan kesederhanaan kerajaan untuk menjaga kepentingan semua kaum dikekalkan.

“Kalau ada parti yang agresif seperti DAP membuat bermacam-macam provokasi, saya bimbang kita tidak boleh kekal aman se­perti ini dan dikhuatiri berlaku huru-hara,” katanya dalam program Sembang Santai Usahawan Bera di Dewan Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Semalam, ahli DAP seumur hidup, Amran Ahmad mendedahkan bahawa parti itu giat menyebarkan propaganda berita palsu termasuk mendakwa partinya memfitnah kerajaan BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau.

Amran yang juga petugas Biro Publisiti DAP memberitahu, beliau berasa terpanggil untuk mendedahkan segala salah laku DAP supaya masa depan negara tidak tergadai di tangan parti yang menang atas sebab demikian.

Menurut Ismail Sabri, DAP dan parti pembangkang sememang­nya tidak mempunyai agenda dalam perjuangan membantu rakyat kerana mereka hanya ma­hu menanamkan kebencian terhadap kerajaan.

Selain menggunakan parti-parti Melayu, kata beliau, DAP dilihat terus menyebarkan pelbagai fitnah supaya rakyat membenci kerajaan yang ada pada masa ini.

“Memang dari segi objektif dia (DAP) hanya untuk mengelirukan rakyat dengan membuat cerita yang bukan-bukan bagi menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan berbanding Barisan Nasional (BN) yang menceritakan apa yang akan dilakukan untuk manfaat rakyat dan kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai tindakan 130 penyokong DAP khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang bertindak keluar daripada parti ber­kenaan, beliau berkata, ini jelas menunjukkan DAP tidak dapat menjaga kebajikan dan membela penyokongnya.