Mohamed Khaled Nordin

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi parti cauvinis itu hanya mereka yang betul, tahu segala-segalanya dan boleh menyelamatkan Malaysia.

“Tetapi mereka lupa. Ketika Johor dan bumi bernama Malaysia ini berada dalam keadaan menyedihkan, kuasa politik orang Melayu Islamlah yang mengubah segala-galanya.

“Dari sebuah negara yang dijangkakan akan gagal oleh penjajah, kita kini menjadi pesaing besar kepada mereka sendiri dalam pelbagai perkara. Apa me­reka lupa yang semua ini tercapai dengan kepimpinan politik orang Melayu Islam,” katanya dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan persidangan tersebut.

Yang turut hadir Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar berkata, Malaysia mengalami kemakmuran serta kemajuan di bawah pimpinan UMNO dan tidak nampak keperluan untuk menggantikan kerajaan sedia ada.

“Terutamanya apabila kerajaan sedia ada membuka ruang seluas-luasnya untuk kita menyuarakan pendapat. Sepatutnya, kita gunakan platform ini untuk bersuara, memberi idea dan terlibat dengan pembangunan.

“Ini kerana, masya­rakat yang baik adalah mereka yang bersedia untuk bekerjasama de­ngan pemerintah untuk membetulkan keadaan dan mengatasi apa-apa kekurangan dalam lingku­ngan mereka. Bukannya dengan bertindak drastik menukar segala yang ada,” katanya.

Katanya, untuk itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan hingga berjaya.

Jelas beliau, sekiranya BN kalah akan menyebabkan agenda membangunkan bangsa terbantut malah perjuangan agama terkandas dan DAP tidak akan sekali-kali membela nasib orang Melayu.

“DAP akan kekal sebagai DAP. Mereka tidak akan tunduk pada kemahuan dan keperluan orang Melayu dan kepentingan Islam,” katanya.