Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, ini kerana jika Menteri Besar dijatuhkan, maka secara tidak langsung kerajaan negeri juga akan tumbang.

Kata beliau, adalah tidak masuk akal dan mengarut untuk menjatuhkan

Menteri Besar menerusi undi tidak percaya walaupun ia boleh dilakukan.

“Saya sudah tegaskan tiada plot oleh saya untuk menjatuhkan Menteri Besar kerana pelantikan Menteri Besar ditentukan oleh majlis tertinggi, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan diperkenankan oleh istana.

“Ini adalah amalan, sama seperti Barisan Nasional (BN). Jadi adalah mengarut untuk saya menjatuhkan Menteri Besar melalui usaha saya sendiri.

“Saya juga sudah menyatakann kesetiaan saya kepada Menteri Besar malah DAP tidak menjalankan kerja-kerja menjatuhkan Menteri Besar. Jika Menteri Besar jatuh, semuanya akan jatuh kerana sistemnya sudah begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Media pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abdul Aziz mendedahkan beliau ada menghantar permohonan untuk bertemu dengan Ahmad Faizal tahun lalu ketika tersebar dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar selepas sidang DUN sesi sebelum ini.

“Ya saya ada minta untuk berjumpa beliau (MB) tahun lepas. Saya tiada masalah dengan beliau, begitu juga dalam soal polisi dan dasar-dasar kerajaan negeri saya tiada masalah,” katanya. - UTUSAN ONLINE