Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, stigma negatif yang dilabelkan sejak sekian lama terhadap parti itu perlu dihapuskan terutama dalam kalangan tiga negeri majoriti Melayu yang dikuasai pembangkang iaitu Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Katanya, walaupun tidak memiliki jentera yang banyak namun sebagai parti yang berkhidmat untuk rakyat, DAP bertekad mengatur langkah mendampingi akar umbi sekali gus menapak lebih kukuh terutama di pantai Timur.

"Kita sedar bukan mudah untuk kita mencapai sokongan tinggi di pantai Timur memandangkan Pas ada kekuatan mereka di Terengganu dan Kelantan tetapi kita tidak boleh putus asa.

"Sekarang DAP sebahagian daripada kerajaan Pusat dan kita ingin membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kita bukan parti perkauman, bukan anti Melayu, bukan anti Islam sebaliknya kita berkhidmat untuk semua," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bagi mengumpul dana anjuran DAP Terengganu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, di sini malam ini.

Yang hadir sama, Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hin.

Anthony Loke memberitahu, keahlian DAP di seluruh negara meningkat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu dengan Johor dan Kedah memiliki ahli dalam kalangan orang Melayu yang terbanyak.

Katanya, perkembangan itu didorong oleh penubuhan cawangan-cawangan baharu di samping gerak kerja berterusan dalam mendampingi rakyat yang bukan di kawasan bandar bahkan di kampung-kampung di luar bandar.

"Di Terengganu misalnya, ahli kita tidak ramai, jadi kita hendak membuka lebih kurang 15 hingga 20 lagi cawangan baharu di Terengganu," katanya. - UTUSAN ONLINE