Perkara itu diakui sendiri ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad yang mendedahkan bahawa DAP sengaja memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya dengan matlamat meracuni pemikiran rakyat.

Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat merangkap Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP itu berkata, beliau yang turut menjalankan gerak kerja itu untuk PRU-14 ini berasa terpanggil untuk mendedahkan segala salah laku DAP supaya masa depan negara tidak tergadai di tangan parti yang menang atas sebab sedemikian.

“Saya telah menjalankan ba­nyak kempen menerusi Biro Publisiti DAP dan turut berce­ramah di pentas gabungan pembangkang PKR sempena kempen PRU-14.

“Namun, dalam dua hari lepas saya sedar apa yang saya buat ini tidak betul. Saya bekas wartawan saya diajar mengangkat kebenaran dan sebar kebenaran tetapi menyertai pasukan DAP ini telah terpesong niat sebenar saya de­ngan membuat propaganda jahat seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amran berkata, beliau tidak sanggup lagi melakukan propaganda jahat DAP dengan menipu rakyat semata-mata untuk memikat hati pengundi.

Justeru, katanya, beliau te­lah membuat laporan polis dan telah menyerahkan segala bukti berkaitan puluhan rakaman vi­deo dan risalah-risalah jahat yang disebarkan DAP.

“Saya minta polis siasat secara menyeluruh dan segera untuk menghentikan penyebaran propa­ganda jahat dan fitnah ini dalam masa beberapa hari lagi sebelum PRU-14 dan tangkap segera kepala di sebalik tindakan ini.

“Saya tidak dipengaruhi sesiapa dan tidak gentar untuk berdepan tindakan yang akan dikenakan oleh kepemimpinan DAP atas pendedahan saya ini termasuk digelar macai atau pemakan dedak BN,” katanya.