Raja Petra Kamarudin
Raja Petra Kamarudin

Penulis blog Raja Petra Kamarudin (gambar) berkata, meskipun Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahukan anaknya, Mukhriz dilantik untuk jawatan tersebut, dengan hanya satu kerusi, bekas Perdana Menteri itu sudah tentu tidak layak membuat keputusan.

“DAP dijangka menang pa­ling banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang dengan PKR di tempat kedua. PPBM pula terpaksa berhempas pulas dan hanya menang lima kerusi walaupun dibantu pengundi Cina.

“Dr. Mahathir harus akur dengan realiti ini. Politik adalah permainan angka. Hanya de­ngan angka paling banyak, anda adalah juara,” katanya menerusi portal Malaysia Today hari ini.

Raja Petra menambah, sebenarnya DAP sudah pun memutuskan yang Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merupakan bakal Perdana Menteri apabila membenarkannya terus menjadi Ketua Pembangkang.

Dalam erti kata lain, jelasnya, DAP sudah pun menentukan dan memutuskan yang Wan Azizah ialah bakal Perdana Menteri, bukannya parti lain.

“Justeru, jika anda menganggap Wan Azizah lembab, maka Mukhriz adalah lebih lembab,’ ujarnya.

Beliau memberitahu, jika PPBM menang 35 kerusi (termasuk Mukhriz) pada PRU-14 manakala PKR (30) dan DAP (40), maka baharulah Dr. Mahathir layak untuk menuntut supaya anaknya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, ujar­nya, jika itu menjadi kenyataan, ketika itu Dr. Mahathir hanyalah seorang pengikut, bukan lagi pemimpin tertinggi.

“Tapi dengan satu kerusi, PPBM bukan pada kedudukan untuk membuat sebarang tuntutan. Apatah lagi PPBM hanya ada 10,000 ahli, tidak seperti UMNO yang ada 3.5 juta ahli. Ini juga bukti yang Dr. Mahathir dan PPBM tiada sokongan kuat,” jelasnya.