Situasi berkenaan tercetus ketika Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga) membangkitkan beberapa isu termasuk Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri (PIP) dan memohon supaya kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir dalam tempoh lima tahun.

Khan Lee turut membangkitkan bantahan yang disuarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perlaksanaan projek PIP.

Beberapa wakil rakyat DAP antaranya Phee Boon Poh (Sungai Puyu);

Lee Chun Kit (Pulau Tikus) dan M. Satees (Bagan Dalam) kemudian mencelah dengan mempersoalkan tujuan Khan Lee membangkitkan isu bantahan NGO berkenaan dalam ucapannya.

Mereka mendakwa Khan Lee tidak mempunyai pendirian apabila membangkitkan bantahan NGO berkenaan.

Khan Lee kemudian mempertahankan diri dengan mengatakan PIP tidak dibantah oleh kumpulan berkenaan tetapi mereka hanya mahu memastikan projek berkenaan dijalankan secara teratur dan memanfaatkan rakyat negeri ini.

Ketua Pembangkang, Muhamad Yusuf Mohd. Noor (BN - Sungai Dua) kemudian turut masuk campur dengan menyokong Khan Lee apabila mengatakan tidak membantah PIP sebaliknya mahu dilaksanakan dengan lebih meluas dan teratur untuk manfaat rakyat.

Pertelingkahan itu berakhir apabila Speaker, Datuk Law Choo Kiang meminta supaya wakil rakyat tidak berterusan membangkitkan isu yang telah dibincangkan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE