ISMAIL SABRI YAAKOB

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bersandarkan kepada sejarah, DAP sedar tentang hakikat betapa parti itu sama sekali tidak akan menerima undi atau sokongan orang Melayu berikutan dasar serta perjuangan dibawa mereka.

“DAP sedar akan hakikat ini. UMNO sebagai parti yang mempunyai roh perjuangan mem­bela agama, bangsa, negara, raja-raja serta bahasa Melayu sama sekali tidak akan dapat diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk tujuan-tujuan lain.

“Tetapi PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbeza kerana mereka ditubuhkan atas kepentingan peribadi untuk mengembalikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menjadikan individu tertentu sebagai Perdana Menteri dan bukan atas dasar mengangkat martabat Melayu. Sebab itu mereka boleh diperalat serta menjual segala prinsip untuk bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin serta timbalannya, Ir. Zainal Alam Bakar.

Ismail Sabri menambah, penyertaan orang Melayu termasuk Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyebabkan DAP berasa yakin untuk berkuasa di negara ini sehingga memper­kenalkan slogan ‘ini kalilah’ yang membawa maksud itulah masanya untuk mereka memerintah negara.

“DAP tahu me­reka mempunyai kerusi terbanyak dalam kalangan pembangkang dan kedudukan itu melayakkan mereka menjadi Perdana Menteri kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak di­sebut bahawa Perdana Menteri perlu dilantik dalam kalangan orang Melayu Islam.

“Kalau tidak menjadi Perdana Menteri sekali pun, mereka akan melepaskan jawatan itu kepada individu yang boleh ‘dikawal’. Cakap-cakap kononnya pemimpin parti ‘bunga’ nak jadi Perdana Menteri, itu hanya gula-gula politik saja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi jaminan untuk mengambil perhatian terhadap aduan dikemukakan Abdullah Hasnan berhubung kesukaran golo­ngan belia di kawasan tersebut mendapatkan kelulusan membina Rumah Bina Negara (Rumah BN) atas alasan geran tanah terlibat mempunyai le­bih daripada dua penama.

“Aduan sebegini baru pertama kali saya terima. Kalau di kawasan luar bandar, memang ada tanah yang mempunyai banyak penama kerana tanah tersebut kurang daripada tiga ekar menyebabkannya tidak boleh dipecah milik seperti termaktub dalam polisi di sesetengah negeri.

“Saya akan periksa kesahihannya. Jika benar, saya akan berbincang dengan Agrobank supaya melonggarkan syarat kerana bagi saya, kalau semua penama dalam tanah itu bersetuju supaya rumah tersebut dibina di situ, itu sepatutnya tidak mendatangkan masalah,” katanya.