Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, ekoran perubahan sinario politik, sudah tiba masanya DAP meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri  yang tidak pernah parti itu bertanding atau memenangi sebarang kerusi.

"Perjuangan kita bersifat jangka masa panjang untuk negara dan rakyat. Semua gembira apabila Pakatan Harapan berjaya dan boleh memerintah di Putrajaya serta lapan negeri.

"Hal ini boleh dilihat sebagai keajaiban politik oleh kerana tidak ramai tidak menyangka keadaan tersebut boleh berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Perkhidmatan DAP Terengganu di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Biro Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wu; Pengarah Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen serta Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hin.

Terdahulu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, tiada istilah berbulan madu sebaliknya kerajaan Pakatan Harapan terus bekerja keras tanpa rehat bagi menggalas tanggungjawab dan mandat yang diberikan rakyat.

Sementara itu, Chai Hin memberitahu, kewujudan DAP makin diterima baik di negeri ini hingga berjaya mengumpul kira-kira 250 permohonan baharu di samping turut menubuhkan lima cawangan baharu dalam Parlimen Kuala Terengganu iaitu di Paya Bunga, Cabang Tiga, Jalan Pejabat, Bandar Baru Pulau Kambing dan Bukit Kecil.

"Dalam masa sama, DAP Terengganu akan cuba menghidupkan semula tiga cawangan di Cukai (Kemaman), Paka (Dungun) dan Wakaf Tapai (Marang) selain sasaran menubuhkan lagi lapan cawangan lain di seluruh negeri," katanya.

Secara keseluruhan, beliau memberitahu, bilangan ahli DAP di Terengganu kini mencecah kepada 500 orang, dan percaya bilangan itu akan terus meningkat dengan prestasi Pakatan Harapan  yang makin menyakinkan rakyat.-UTUSAN ONLINE