Setiausahanya, Tan Hong Pin berkata, parti itu memandang berat terhadap kenyataan tidak sopan yang disampaikan tersebut.

“Kenyataan yang dimuat naik oleh Saudara Mohamad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah menerusi akaun peribadi Facebooknya tersebut diungkapkan dengan bahasa yang tidak sopan dan tidak menggambarkan sifat seorang rakyat yang menghormati institusi Diraja.

“Sebagai ahli parti dan Ahli Majlis, beliau seharusnya mengutamakan budi bahasa dan bersikap sopan santun serta perlu menjaga tata tertib berbahasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Hong Pin berkata, sungguhpun DAP teguh atas prinsip keluhuran Perlembagaan yang sekali gus memperjuangkan kebebasan bersuara, namun, prinsip dan perjuangan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melahirkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang dilahirkan harus mengikut etika diplomasi yang tinggi dan berintegriti.

“Semalam, DAP Negeri Johor telah dimaklumkan bahawa Ahli Majlis berkenaan (Mohamad Kamarul Ariffin) telahpun memohon maaf dalam media sosial beliau dan memadamkan kenyataan yang tidak sopan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, DAP Johor merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor khususnya dan seluruh rakyat amnya atas sikap tidak bertanggungjawab ahli kami yang berkelakuan tidak sopan terhadap institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Hong Pin menambah, sebagai sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan, DAP sentiasa memantau tahap disiplin ahli-ahli dan wakil-wakil pimpinan di peringkat akar umbi semasa menjalankan khidmat mereka.

DAP mengulangi pendirian untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja Berperlembagaan di samping memelihara keharmonian masyarakat demi mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya, katanya.

Terdahulu, Mohamad Kamarul Ariffin memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam akaun Facebook miliknya, Jumaat lepas, sebelum dipadamkan.

Beliau kemudian memohon maaf kepada seluruh kerabat Diraja Johor menerusi laman sama semalam atas kenyataan yang dibuatnya. - BERNAMA