Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana beliau melihat DAP yang merupakan salah sebuah parti yang membentuk gabungan pembangkang PKR tidak sensitif dengan sejarah negara ini.

“DAP ini dasar yang dia bawa ialah Malaysian Malaysia dan saya tak fikir DAP kisah atau sensitif de­ngan sejarah negara, yang penting dia bawa apa yang dia mahukan.

“Kalau gabungan pembangkang PKR perintah pun, mereka boleh ubah sejarah berdasarkan kehendak mereka pada masa itu. Siapa yang mereka mahu anggap sebagai hero atau wira negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dedap di sini hari ini.

DAP sebelum ini menamakan Jamaliah Jamaluddin yang merupakan cucu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh sebagai calon gabungan pembangkang PKR bagi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Jamaliah dalam tulisannya yang disiarkan di portal propembangkang, Malaysiakini berkata, neneknya merupakan seorang wirawati dan pejuang bangsa yang amat penting dalam sejarah negara.

Terdahulu, dalam majlis itu, Mahdzir mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda dan Yan untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan sekolah-sekolah.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, DAP boleh melakukan apa sahaja sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya membentuk kerajaan.

“Sekarang DAP diam tutup mulut, suruh Melayu bergaduh. Bila dapat kuasa, mereka tahu apa yang nak buat,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, dalam buku teks mata pelajaran Sejarah, Kementerian Pendidikan membahagikan antara pejuang kemerdekaan dan musuh-musuh negara secara jelas daripada waktu sebelum hingga selepas merdeka.

“Ini negara demokrasi dan yang bertanding ini parti politik serta tidak ada parti komunis yang bertanding. Jadi jangan bawa unsur yang boleh disalah faham oleh orang lain.

“Kita berikan kefahaman kepada pelajar dalam negara berkaitan sejarah berasaskan buku teks, mata pelajaran Sejarah yang ada di sekolah. Kalau yang menyimpang daripada buku tersebut maknanya kita nak bangkitkan elemen lain yang tak patut dibangkitkan,” katanya.

Habis