Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, sudah sampai masanya masyarakat Cina untuk celik, sedar dan kembali ke pangkal jalan dengan menolak DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, rentetan insiden di Pulau Pinang wajar menyedarkan masyarakat tersebut bahawa selama ini mereka telah ditipu dan diperbodohkan oleh DAP.

“Jangan lagi termakan hasutan dan fitnah DAP yang penuh de­ngan pendustaan, putar belit fakta bagi menutup penyelewengan dan cuba menuding jari kepada Gerakan dan MCA bagi menyembunyikan kesalahan mereka.

“DAP sebenarnya running dog, bukannya MCA atau Gerakan kerana parti itulah yang menjual masyarakat Cina,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Ke-30 di Menara PGRM di sini hari ini.

DAP sebelum ini sering meng­gelarkan Gerakan dan MCA sebagai running dog kepada UMNO.

Dakwa Lian Hoe, masyarakat Cina akan hidup dalam keadaan lebih sukar dan menderita sekiranya mereka menolak calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Dalam pada itu, Lian Hoe mendakwa, dendam kesumat antara pemimpin Pakatan Harapan masih menebal dan terpendam di dalam hati mereka.

“Lihat sahaja klip-klip video bagaimana pemimpin-pemimpin DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dahulunya saling mencaci kini bersama dalam Pakatan Harapan untuk sekali lagi menipu rakyat.

“Sandiwara Pakatan Harapan sebenarnya hanya mengaburi mata rakyat bagi menakluki Putrajaya untuk memenuhi kepen­tingan politik masing-masing.

“Mereka akan bergaduh dan bercakaran sesama sendiri dalam perebutan jawatan yang akhirnya akan menggugat keamanan, kedamaian serta ekonomi negara. Ayuh, ini kali lah kita tolak dan hapuskan Pakatan Harapan,” ujarnya.