Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO dan pemimpinnya digelar Malay supremist, rasis dan pelbagai gelaran lain selain dituduh menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan.

“Lim Guan Eng menuduh bahawa kerjasama UMNO PAS adalah a declaration of war against the non Malays. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen

pula menyokong kenyataan (Ahli Parlimen Teluk Intan) Ngar Kor Ming yang berspekulasi bahawa kerjasama orang Melayu Islam UMNO-Pas akan boleh menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban (pertubuhan pengganas di Afghanistan).

“Kita terfikir. Mengapa kita cuba memperkasa perpaduan yang semakin menipis, mereka dengan rakus memperkosanya dengan rasa prejudis? Pada saya, semua tindakan melulu, malah celopar, sebegini menghantar dua isyarat jelas,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled berkata, pertama DAP dan sekutunya amat gerun dengan cabaran yang akan ditempuhi apabila Melayu bersatu pada tahap yang tidak pernah lihat sebelum ini.

Jelas Menteri Besar, pihak yang risau dengan perpaduan dua parti politik itu tidak senang dan berasa tergugat bukannya masyarakat bukan Melayu secara umum tetapi hanya DAP dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mereka sangat sedar bahawa dampak kesatuan orang Melayu yang luar biasa akan melenyapkan DAP dan Bersatu daripada persada kuasa.

“Mereka tahu, naratif no religion no race Malaysian Malaysia tidak akan diterima, ditolak dan ditentang oleh orang Melayu. Mereka juga sedar bahawa Bersatu sehingga sekarang tidak boleh menjadi alternatif yang diterima kepada perjuangan politik Melayu,” katanya.

Kedua kata beliau, semua tindakan DAP menggambarkan betapa mereka selama ini hidup dalam kebatilan dan kejahilan.

Bagaimana mungkin katanya, kesatuan orang Melayu itu disamakan secara membuta tuli dengan ‘perang terhadap bangsa bukan Melayu’.

“Tiada akal yang waras dapat menerima hujah yang sangat dangkal, sempit dan tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya. - UTUSAN ONLINE