M. Suresh

Suresh, 46, berkata, setelah masalah berkenaan berlarutan hampir 10 tahun, Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berjanji mengeluarkan surat hak milik kepada penduduk terlibat selepas DUN dibubarkan baru-baru ini.

Katanya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan kerana isu itu telah dibangkitkan sejak 2010 apabila kerajaan negeri berjanji membantu penduduk di kampung yang menerima ancaman pihak tertentu.

“Penduduk terpaksa membuat laporan polis untuk tujuan ke­selamatan. Perkara ini bukan isu baharu kerana wakil rakyat DAP di situ telah diberi peluang berkhidmat selama dua penggal, namun apa telah mereka lakukan untuk membela penduduk terlibat?” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Calon BN Parlimen Batu Kawan, Datuk B. Jayanti Devi.

Mengulas lanjut, Suresh berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan segera dan pihak-pihak tertentu tidak perlu menghasut penduduk di situ.

“Kenyataannya ialah mereka (kerajaan negeri) gagal membantu penduduk. Sebenarnya isu ini ha­nya merupakan satu daripada ba­nyak contoh kegagalan wakil rakyat DAP di kawasan berkenaan. Sebenarnya banyak lagi janji yang telah mereka mungkiri,” katanya.

Selain itu, Suresh berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan malahan dalam Bajet 2018, tidak banyak aspek pembangunan difokuskan untuk kawasan itu yang mempunyai seramai 17,074 pengundi.

Sementara itu, Ramasamy ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak memberi sebarang maklum balas.

Dalam pada itu, Jayanti Devi berkata, pihaknya akan menggempur kawasan berkenaan dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen Batu Kawan dan tiga DUN di bawahnya.

Katanya, walaupun tugas ber­kenaan dilihat mencabar kerana DAP mendapat sokongan padu da­ripada 51 peratus pengundi Cina di Parlimen berkenaan, namun angin perubahan mula dirasakan kebelakangan ini.

“BN menerima banyak rungutan daripada penduduk di Perai, Bukit Tengah dan Bukit Tambun berhubung isu banjir dan perparitan, isu perumahan yang dilihat tidak memberi faedah kepada penduduk serta isu-isu sensitif seperti pemilikan lot tanah kuil Hindu di Kampung Main Road (Perai).

“Sekiranya diberi mandat, kita akan laksanakan apa yang tidak mampu diselesaikan oleh DAP,” katanya.