MOHAMMAD RAZIN
MOHAMMAD RAZIN

Perkara itu terkandung dalam surat rasmi Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah yang diserahkan kepada DAP semalam menasihatkan agar parti itu mengadakan semula pemilihan CEC.

Berdasarkan kandungan surat itu, alasan pertama yang diberikan ROS untuk tidak mengesahkan pemilihan semula pada 2013 adalah kerana mendapati sebahagian daripada perwakilan yang berhak mengambil bahagian dalam proses itu tidak diberi peluang yang secukup dan sewajarnya untuk mengundi.

Alasan kedua pula adalah wujud perbezaan yang agak ketara antara jumlah perwakilan yang hadir dalam pemilihan CEC pada Kongres Kebangsaan DAP pada 15 Disember 2012 dengan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Pada pemilihan 2012 yang dilaporkan adalah sebanyak 865 cawangan manakala pada pemilihan semula yang dilaporkan adalah 985 cawangan.

Menurut surat berkenaan, ang­ka itu menunjukkan pertambahan sebanyak 120 cawangan yang ha­dir dalam pemilihan semula itu.

Justeru, perkara itu telah me­nimbulkan keraguan sama ada keputusan hasil pemilihan semula itu diperoleh secara sah atau secara manipulasi dengan menambah cawangan yang tidak layak untuk mengambil bahagian.

Oleh itu surat berkenaan me­negaskan, ROS mengambil pendirian untuk tidak mengiktiraf pemilihan dan pelantikan anggota CEC yang telah dibentuk melalui pemilihan semula pada 2013.

Dalam pada itu, Mohammad Razin ketika dihubungi memberitahu, ROS tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu kepada DAP untuk mengadakan pemilih­an semula CEC.

Menurutnya, parti itu hanya perlu memberi maklum balas berhubung surat yang diserahkan semalam dalam tempoh 14 hari.

Baru-baru ini, ROS mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula secara te­lus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.