Nyata, bukan formula 3:3:2:2 yang digunakan, tetapi 4:2:2:2 diguna pakai dalam pembahagian ahli Exco kerajaan negeri dengan empat kuota diberikan kepada DAP, manakala baki enam kuota, masing-masing dua diberikan kepada PPBM, PKR dan PAN.

Empat wakil rakyat DAP yang dilantik ialah Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin; ADUN Bekok, Dr. S. Ramakrishnan; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Ali.

Exco daripada PAN pula diberikan kepada ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PAN negeri dan ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad manakala PPBM diwakili ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan ADUN Bukit Kepong, Dr. Sahruddin Jamal dan PKR pula diwakili ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse dan ADUN Seme­rah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Pembahagian itu dipercayai diberikan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan DAP memenangi 14 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN), PPBM (11), PAN (9) dan PKR (5) daripada 39 kerusi DUN dimenangi Pakatan Harapan (PH) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 16 kerusi dan Pas satu kerusi.

Dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan barisan Exco baharu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Exco Perdagangan Antarabangsa, Pela­buran dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse tentang pemberian 10 meter padu air percuma (kediaman) kepada golongan B40.

“Saya baru berbincang secara tidak rasmi dengan Jimmy me­ngenai janji tentang air. Beliau kena buat kertas kerja dan mesti meng­hubungi jabatan-jabatan yang ber­kaitan mengenai formula un­tuk kita laksanakan secepat mungkin.

“Selepas itu, kita juga akan berbincang dengan pegawai kewangan negeri kerana melibatkan kewangan, berkemungkinan membabitkan peruntukan RM36 juta setahun. Ini kita akan bincangkan dan akan laksanakan secepat mungkin untuk rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada semua Exco perlu mengisytiharkan harta, Osman tidak dapat memutuskan mengenai perkara tersebut dan perlu dibincangkan bersama-sama parti komponen yang lain.

“Nanti kita akan bincangkan. Apa-apa dalam PH ini, saya tidak boleh buat keputusan sendiri, hanya boleh umum keputusan akhir setelah mendapat persetujuan daripada parti-parti komponen.

“Kalau perlu buat, kita akan buat, sekiranya tak perlu, kita akan jelaskan. Perkara ini awal-awal lagi kita sudah buat saringan sebelum hendak jadi wakil rak­yat,” katanya.