Walaupun pembahagian kerusi itu menyaksikan DAP hanya akan bertanding 35 kerusi berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 52 kerusi, PKR 51 kerusi dan PAN 27 kerusi, tetapi berdasarkan kawasan yang ditandi­ngi, peluang DAP untuk terus menjadi parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan selepas PRU-14 tidak boleh dinafikan.

Berdasarkan senarai kawasan yang terlibat dalam pembahagian tersebut seperti mana disiarkan oleh portal berita propembangkang, DAP dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 31 kerusi tanpa mengambil kira kerusi di Sabah dan Sarawak.

Ini memandangkan DAP sama sekali tidak menyerahkan satu pun kawasan selamat atau kubu kuat mereka sama ada kepada PPBM mahupun PAN.

Sebaliknya, DAP hanya bersedia mengorbankan sekurang-kurangnya dua sahaja kerusi yang mereka tewas dalam PRU-13.

Mengikut kiraan kasar berdasarkan jumlah undi majoriti melebihi 10,000 undi, DAP mempunyai sekurang-kurangnya 25 kerusi paling selamat, manakala enam kerusi mampu dipertahankan dengan perolehan undi majoriti antara sekitar 2,800 hingga 7,300 undi.

Selain itu, DAP juga jika me­ngikut senarai tersebut turut bertanding di kerusi Parlimen Ayer Itam yang sebelum ini ditandingi oleh Pas.

Kerusi berkenaan disandang oleh Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Datuk Wee Ka Siong yang memperoleh majoriti 7,310 undi.

DAP juga dilihat turut bertan­ding di dua kerusi Parlimen yang dianggap mempunyai peluang 50-50 iaitu di Bentong dan Labis.

Di kedua-dua kerusi tersebut calon BN menang dengan majo­riti 353 undi dan 379 undi.

PKR pula turut mencontohi ‘formula’ DAP apabila hanya bersedia menyerahkan kesemua kerusinya yang kalah dalam pilihan raya umum lalu kepada PPBM dan PAN.

Terdapat sekurang-kurangnya 14 kerusi diserahkan kepada parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mohamad Sabu itu.

Jika mengikut kawasan ditan­dingi dan jumlah undi majoriti yang diperoleh, PKR boleh dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 19 kerusi ‘selamat’, manakala lima kerusi mampu untuk dipertahankan.

Ia bermakna secara keseluruhannya parti itu mampu mencapai kemenangan di 24 kerusi.

Turut menarik perhatian ialah ‘tugas’ yang diberikan oleh kepemimpinan Pakatan Harapan kepada PPBM.

Bagi meranapkan penguasaan UMNO yang merupakan parti tonggak BN, PPBM ‘ditugaskan’ untuk bertanding di 46 kerusi milik UMNO, tiga kerusi milik Pas, manakala masing-masing satu kerusi dikuasai MIC, MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun impian PPBM untuk menang lebih banyak kerusi berbanding DAP mungkin tidak kesampaian jika berpandukan jumlah undi majoriti dan personaliti calon UMNO yang menang dalam PRU-13.

Kalau dicongak-congak dan jika tidak berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan pengundi BN, khususnya orang Melayu, PPBM mungkin memenangi tidak sampai 10 kerusi.

PAN pula biarpun dibenarkan untuk ‘mempertahankan’ lima kerusi yang dimenangi oleh pe­mimpinnya atas tiket Pas, tetapi mereka dianggap parti paling rugi dalam percaturan pembahagian kerusi tersebut.

Ini memandangkan PAN dipertanggungjawabkan di kerusi-ke­rusi yang dianggap kubu kuat UMNO dan Pas.

Kalau berdasarkan undi ­ma­joriti dalam pilihan raya umum lalu dan jika ‘trend’ pengundian tidak berubah, PAN mungkin akan mencatatkan kemenangan paling sedikit berbanding parti-parti lain dalam pakatan tersebut.

Biarpun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Pakatan Harapan berhubung nama kawasan yang terlibat dalam pembahagian kerusi tersebut seperti mana tular di media-media sosial, tetapi secara logik akalnya tidak mungkin DAP mahupun PKR akan mengorbankan kawasan selamat mereka untuk diserahkan kepada parti serpihan seperti PPBM dan PAN.

Apatah lagi, DAP sudah tentu tidak akan membenarkan mana-mana parti lain lebih dominan daripadanya biarpun mereka tidak meletakkan calon untuk menjadi Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, DAP juga mungkin sudah mengetahui sejauh manakah kekuatan PPBM dan PAN untuk menumpaskan UMNO dan Pas.

Justeru hitungan politik yang digunakan bukannya bertanding di banyak kerusi, tetapi berapa banyak yang boleh dimenangi. Kesudahannya yang tetap yang akan untung besar ialah DAP.