Penge­rusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan (gambar) berkata, beliau berharap pemilihan dapat dibuat secara telus dengan kesahihan senarai nama perwakilan tidak dipertikaikan.

Menurut­nya, ahli akar umbi DAP juga menolak sebarang usaha penipuan, pemalsuan atau taktik licik yang dijalankan oleh beberapa kumpulan tertentu yang akan mence­mar­kan pemilihan yang dijangka diadakan awal bulan hadapan.

“DAP perlu mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) agar mengadakan pemilihan semula CEC dan kami mendesak agar senarai nama yang dikeluarkan pada 2012 diguna pakai.

“Berdasarkan senarai itu, seramai 2,576 perwakilan layak mengundi dan senarai nama mereka harus dipamerkan di dalam akhbar tempatan pelbagai bahasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Asoghan, ramai ahli juga tidak bersetuju dengan pelantikan firma audit PKF dan PKMG sebagai badan bebas untuk menjadi pemerhati pada pemilihan itu kerana syarikat tersebut memiliki hubungan dengan pimpinan DAP.

Jelasnya, pengiraan undi semasa pemilihan itu juga harus dilakukan dengan telus dan dibuat di hadapan perwakilan, bukannya dibawa keluar ke bilik lain seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Kami menolak pemilihan firma audit PKF dan KPMG sebagai pemerhati dalam pemilihan itu kerana tidak mahu wujud elemen yang boleh menimbulkan rasa curiga terhadap pemilihan semula berkenaan,” ujarnya.

-Habis-