Arahan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu me­rupakan salah satu daripada 10 perkara yang perlu dipatuhi DAP yang akan mengadakan pemilihan semula CEC parti pada 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor.

Surat arahan bertarikh 21 September itu diedarkan kepada media pada sidang akhbar oleh Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berhubung tarikh pemilihan semula CEC parti di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Mohammad Razin Abdullah
Mohammad Razin Abdullah

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat itu me­nuntut syarikat audit yang menyelia pemilihan semula tersebut, Grant Thornton memastikan hanya calon CEC dan perwakilan yang sah seramai 2,576 dari senarai yang digunakan untuk pemilihan pada 2012 dibenarkan untuk mengambil bahagian,

Syarikat audit itu juga hendaklah menyediakan kaedah sesuai melalui laman sesawang atau portal parti untuk memaparkan senarai perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan semula CEC mengikut format ditetapkan untuk ahli yang sah menyemak senarai berkenaan.

ROS juga mahukan notis panggilan disiarkan di akhbar utama berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil dalam tempoh minimum 14 hari sebelum pemilihan semula dijalankan dengan memasukkan kenyataan bahawa ahli-ahli yang sah boleh merujuk kepada laman sesawang atau portal parti untuk menyemak senarai perwakilan.

Notis di akhbar-akhbar tersebut hendaklah disiarkan serentak dengan tarikh notis sebenar dikeluarkan kepada perwakilan.

Mengulas syarat-syarat oleh ROS itu, Guan Eng berkata, DAP akan memenuhi perkara itu meskipun tetap tidak berpuas hati dengan keputusan badan itu supaya mengadakan pemilihan semula CEC.

“DAP tentunya memang tidak puas hati dengan keputusan ROS memandangkan empat tahun lewat. Keduanya, ini satu tuduhan tidak berasas berdasarkan hanya dari segi bilangan wakil yang keluar atau tidak hadir pada pemilihan.

“Kami telah dijumudkan oleh ROS semasa 2012, itu sesuatu yang amat janggal sekali,” katanya.

Ketika dilontarkan soalan mengenai dakwaan wujud pengundi hantu pada pemilihan semula CEC tahun 2013, Guan Eng mengelak mengulas lanjut dengan menyifatkan kononnya perkara itu sebagai fitnah yang tidak berkesudahan.