Pengarah PRK DUN Balakong Pakatan Harapan, Ean Yong Hian Wah mendakwa, calon MCA, Tan Chee Teong dengan jelas menuduh DAP tanpa mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong tuduhan beliau.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, meskipun pihaknya sudah membuat laporan polis, sehingga ke hari ini MCA masih belum tampil ke hadapan bagi memberikan penjelasan mengenai isu tersebut.

“Tiada sebarang bukti dikemukakan yang boleh menyokong tuduhan beliau, kenyataannya jelas mempunyai unsur-unsur fitnah dan langsung tidak berasas, adakah ini prinsip semak dan imbang yang ingin dibawa MCA.

“Sebab itu, kita bagi MCA tempoh 24 jam untuk meminta maaf kepada DAP, kalau tidak kita akan mempertimbangkan mengambil tindakan lanjut terhadap beliau,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas tuduhan calon MCA, Tan Chee Teong pada Sabtu lalu yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook milik Chee Teong bertajuk ‘DAP telah merosakkan gegantung MCA’ dalam bahasa Mandarin sebelum video tersebut dipadamkan selepas itu.-UTUSAN ONLINE