ANNUAR MUSA

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, DAP sengaja memperlihatkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertan­ding paling banyak kerusi iaitu 52 kerusi untuk memastikan pengundi percaya parti yang dike­tuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu memimpin Pakatan Harapan.

Menurut beliau, apa yang menjadi kemusykilan ialah kenapa ketika Pakatan Harapan me­ngumumkan pembahagian kerusi antara mereka kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak tidak dikira sekali.

“DAP sekurang-kurangnya boleh tanding dan menang lapan kerusi di Sabah manakala di Sarawak pula 11 kerusi sudah jadi 19 kerusi, dicampur pula de­ngan kerusi boleh menang di Semenanjung, DAP boleh peroleh sekurang-kurangnya 54 kerusi.

“Tidakkah DAP yang menang lebih kerusi Parlimen dan dapat dilihat ada muslihat tertentu yang DAP cuba sembunyikan. Kita percaya hal ini menjadi bukti DAP yang sebenarnya memimpin Pakatan Harapan,” katanya ketika Forum Polemik Perdana Menteri Pakatan Harapan yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau hari ini.

Yang turut menjadi panel pada forum berkenaan ialah bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmi Rosli; Presiden Pertubuhan Anak Perak, Faizal Lentin; Ahli Jawatankuasa Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Dr. Ahmad Kusyairi Khalid; Ahli Jawatankuasa Penerangan MIC, Subash Chand­rabose dan Pengarah Operasi Malaya, Farhan Khairuddin.

Sementara itu, Mohd. Nazmi menegaskan, keputusan menamakan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara boleh dilabelkan sebagai satu langkah ke belakang yang mengelirukan rakyat.

MUHAMMAD FARHAN KHAIRUDDIN
MUHAMMAD FARHAN KHAIRUDDIN

“Saya sudah menjangkakan pengumuman yang dibuat Pakatan Harapan itu tetapi apa yang menjadi persoalan, kenapa Dr. Mahathir yang dikatakan berjiwa besar, sudah berstatus negarawan itu perlu berpatah balik untuk menjadi ahli politik dan bersusah payah berkempen bagi meraih undi rakyat.

“Mereka sebenarnya bermain wayang dengan gambaran (figure) kerusi. PPBM diletakkan sebagai pemegang paling banyak kerusi tetapi akhir­nya, DAP akan mendominasi pakatan pembangkang,” katanya.

Mengulas lanjut hal itu, Farhan pula berkata, semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, mahasiswa menolak beliau kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tetapi kini, mahasiswa sudah hilang hormat kepada bekas Perdana Menteri itu kerana tindak tanduknya begitu kontradiksi dengan kenyataannya.

“Hari ini, kebanyakan kami sudah membuka mata dengan melihat secara `depan-depan’ setiap penentangan rakyat kepada Dr. Mahathir.

“Saya ingatkan rakan-rakan seperjuangan saya supaya jangan mengikut ‘buah’ Dr. Mahathir. Jika dia jadi Perdana Menteri, bukan orang Melayu yang untung sebaliknya DAP yang tetap dominan,” katanya.