Pengerusi DAP Kelantan Chua Chin Hui berkata, cawangan tersebut ialah Pengkalan Chepa dan Suara Muda di sini, Kampung Balai (Bachok), Kampung Lemal (Pasir Mas), Tumpat, Kuala Krai dan Machang.

Beliau berkata sebelum ini DAP mempunyai cawangan di Kampung Gajah Mati dan Jalan Kebun Sultan di sini, tetapi kurang aktif.

Jumlah keanggotaan juga dijangka bertambah daripada 200 kepada 700 orang selepas pembukaan cawangan baharu itu, katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan  Aidilfitri DAP Kelantan di sini, malam tadi.

Turut hadir Penasihat DAP yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Chua berkata, DAP sudah lama bertapak di negeri ini, malah pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Garong (sekarang DUN Kota Lama) tetapi keadaan politik semasa sebelum ini menyebabkan DAP tenggelam.

"Namun dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) diharap DAP dapat kembali aktif dan bersama-sama parti dalam PH merampas Kelantan daripada PAS," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai PH yang telah melepasi hari ke-60 sebagai kerajaan Persekutuan, Kit Siang berkata, pihaknya tidak akan menganggapnya sebagai tempoh 'berbulan madu' malah akan terus melaksanakan janji dan bekerja kuat untuk rakyat.-BERNAMA