Naib Pengerusi DAP yang belum disahkan, Teresa Kok berkata, parti itu juga akur dengan arahan ROS supaya menggunakan senarai 2,576 perwakilan pada pemilihan 15 Disember 2012 serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula itu.

Menurutnya, pemilihan semula CEC itu akan diadakan melalui kongres khas seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Beliau bagaimanapun berkata, pemilihan semula itu dibuat ‘di ba­­wah protes’ dan tidak akan menjejaskan usaha parti untuk mengambil tindakan perundangan terhadap ROS sekiranya perlu.

Teresa berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Ibu pejabat ROS di sini, hari ini bersama Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bagi menyerahkan surat jawapan kepada surat yang mengarahkan pemilihan semua CEC diadakan se­perti dikeluarkan jabatan itu kepada parti berkenaan Isnin lepas.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah se­­­­­­malam dilaporkan berkata, per­­tubuhan itu kekal dengan keputusan bahawa DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkeras untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC parti itu dengan alasan arahan yang dikeluarkan oleh ROS adalah berdasarkan ‘berita palsu’.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pemilihan semula itu hanya boleh dilaksanakan selepas ROS mengesahkan senarai 2,576 perwakilan 2012 yang dihantar mereka hari ini seperti disyaratkan jabatan itu.

“Kami harap ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk disahkan bagi memudahkan kami melakukan tindakan lanjut,” kata Anthony.

Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, DAP akhir­nya terpaksa akur kerana bimbang berhadapan dengan risiko tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya mempertikaikan apakah keistimewaan parti tersebut sehingga tidak mahu ikut prosedur sedangkan aturan (undang-undang) ini melibatkan semua parti.

“Semua perkara yang bersangkutan dengan undang-undang dan prosedur serta lebih-lebih lagi kerajaan, pasti dibantah jadi (tindakan) ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan sudah boleh dijangka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.