Pengarah Pendidikan Politik DAP, Senator Liew Chin Tong berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak memiliki kelebihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berbanding BN dan hakikat itu perlu dihadapi oleh mereka.

“Memang peluang kita tidak secerah BN dan mereka memang lebih kuat (sokongan) terutama di kawasan Orang Asli dan ini adalah hakikat yang perlu kita hadapi.

“Walaupun peluang PH tidak sebaik BN tetapi kita masih ada 13 hari lagi untuk bekerja bersungguh-sungguh supaya boleh mencipta sejarah menang di Cameron Highlands dengan mendapat sokongan yang lebih tinggi di kawasan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran yang melawat Orang Asli di Kampung Sungai Relong di Pos Mensun di sini hari ini.

Menurut Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, PH perlu memenangi kerusi Parlimen itu dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di negeri ini untuk jangka panjang khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, masyarakat di sini memerlukan sentuhan daripada kerajaan baharu yang mempunyai misi dan visi yang jelas berbanding kerajaan negeri yang gagal dalam mengurus isu tanah di sini.

“Kenapa kita perlu menang, kerana kerajaan Pahang telah gagal dalam mengurus isu tanah di Cameron Highlands termasuk isu tanah adat Orang Asli dan tanah TOL (lesen pendudukan sementara) untuk pertanian.

“Di Cameron Highlands ada sebanyak 2,041 tanah TOL sedia ada dan 1,153 pula permohonan baharu. Bagaimanapun kerajaan negeri hanya boleh proses tidak sampai 10 permohonan setiap bulan dan ini bermakna masalah tanah tidak akan selesai jika tiada kesungguhan politik daripada kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN ONLINE