Naib Presiden Pas, Idris Ah­­mad berkata, sebaliknya tuduhan itu dilihat bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 selepas Pas berjaya membentangkannya di Parlimen.

Menurutnya, ini dapat dilihat apabila Rafizi mengadakan sidang akhbar mendedahkan tuduhannya itu sebaik sahaja Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selesai membentangkan RUU 355 di Parlimen.

Katanya, ia merupakan satu tindakan yang pelik kerana kenapa Rafizi perlu menunggu sehingga RUU 355 selesai dibentangkan di Parlimen untuk be­liau membuat dakwaan tersebut.

“Adakah dia sengaja mahu mengalihkan isu kerana gelombang RUU 355 yang begitu kuat? Bagi Pas dia sengaja mahu me­ng­alihkan isu RUU 355. Tudu­han­nya berbentuk persepsi semata-mata.

“Mula-mula dia kata yang menerima dana itu ialah orang Pas. Kemudian dia kata yang terima dana itu mereka yang rapat de­ngan pemimpin Pas tapi selepas itu dia kata bekas orang Pas pula yang terima dana tersebut, bermakna sejak awal lagi tuduhannya tidak kukuh,” tegas Idris.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Konvensyen Pas Perak di Air Kuning, Changkat Jering di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Idris, parti itu tidak mahu ada gangguan daripada pihak luar dalam usahanya untuk bergerak ke hadapan terutama­nya bagi menambah keahlian parti.

Katanya, terpulang kepada Rafizi untuk membuat tuduhan dan Pas akan membuktikan perjuangan mereka menerusi amal supaya dapat dinilai oleh masyarakat.

“Terpulanglah kepada dia untuk buat tuduhan, kita tak boleh sekat orang daripada bercakap,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, masyarakat bukan Islam terma­suk ahli-ahli parti politik secara peribadi menerima RUU 355 namun terpaksa akur kepada keputusan parti.

Menurutnya, untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat bukan Islam, Pas telah mengemukakan jemputan untuk mengadakan dialog dengan MCA bagi membincangkan isu RUU 355.

“Pas juga akan menjemput parti-parti lain termasuk DAP dan akhbar-akhbar Cina untuk memberikan kefahaman kepada mereka mengenai RUU 355,” katanya.