Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangu­nan Koridor ne­geri, Datuk Mohamad Zahir Ab­­dul Khalid berkata, dakwaan dalam sidang akh­bar yang diadakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu semalam juga tidak lebih daripada satu permainan bertujuan meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Menurutnya, semua perkara yang dibangkitkan Koo Ham dalam sidang akhbar tersebut merupakan isu lama yang telah pun dijawab ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November tahun lalu.

“Mereka sebenarnya sudah kehabisan idea serta tidak ada isu untuk dibangkitkan, sebaliknya menayangkan semula filem lama bagi menarik perhatian rakyat yang kini sudah tidak lagi terpedaya dengan taktik serta strategi mereka.

“Mereka terdesak dan terpaksa mengulangi tohmahan serta tuduhan lapuk yang telah dijawab bersama bukti-bukti jelas bahawa mereka bukan sahaja menipu dan berbohong di pentas ceramah tetapi juga berbohong dan memanipulasi isu dalam sidang DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kamun­ting di sini hari ini.

Koo Ham dalam sidang akhbar di Ibu pejabat DAP Perak semalam antara lain mendesak Zambry supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana terlibat dalam salah laku menerima bonus serta kereta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Koo Ham turut mendesak dan me­nuduh polis supaya tidak campur tangan dalam tugas wakil rakyat yang sudah pun dipilih secara demokrasi, selain tidak menjadi ejen kepada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar.

Mohamad Zahir berkata, pembangkang se­olah-olah tidak faham apa yang dijelaskan dalam sidang DUN berhubung isu berkenaan ke­rana hati dan minda mereka ditutup oleh rasa benci.

Malah kata beliau, pembangkang juga melihat Zambry berada dalam keadaan yang cukup baik ketika ini, justeru isu kitar semula sedemikian sengaja di­timbulkan semula bagi menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap Zambry.

“Isu berkaitan Perak Corporation Berhad (PCB) yang juga anak syarikat PKNP, isu pembelian kereta Audi Q7 untuk kegunaan syarikat yang didakwa kepentingan Menteri Besar serta isu pembayaran bonus kepada beliau juga semuanya sudah dijelaskan sebelum ini.

“Begitu juga isu berkaitan dengan dakwaan kerajaan ne­geri membayar sejumlah wang bagi membeli anugerah daripada The Brandlaureate juga sudah dijawab dan yang peliknya pembangkang hingga ke hari ini masih gagal mengemukakan sebarang bukti berhubung dakwaan berkenaan. Saya sudah minta berkali-kali, tapi mereka senyap sahaja,” katanya.