Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihak yang melemparkan dakwaan sedemikian sebenarnya tidak memahami tentang model pem­bangunan yang digunakan di negeri ini.

“Saya difahamkan oleh Wi­layah Ekonomi Pantai Timur (ECER), kita ada syarikat tujuan khas (SPV) dan kedua-dua negara iaitu Malaysia dan China masing-masing mempunyai kepentingan.

“Tetapi dari segi kawalan, ia masih di bawah Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat hak milik Rancangan Ta­nah Berkelompok (RTK) Tebing Tinggi kepada 311 pe­nerima di Dewan Utama Bahagian Teknologi Pendidikan Ne­geri, Beserah di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Seri Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid.

Baru-baru ini, negeri ini terus menjadi sasaran menerusi penyebaran gambar kereta peronda menggunakan logo polis China yang tular di media sosial yang didakwa berada di Kuantan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, kenderaan itu digunakan untuk penggambaran filem bertajuk The Original Sin di Putrajaya bagi tayangan di China.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan ne­geri tidak akan menjual tanah kepada China.

“Berhubung Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di sini, tidak betul apabila ada pihak mendakwa kawasan itu tidak boleh dimasuki oleh sesiapa. Benar ia kawasan kilang dan tidak boleh dimasuki oleh orang luar secara sewenang-wenangnya tetapi kita boleh melawat kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu beliau ber­kata, kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh pindah milik tanah kurniaan kerajaan negeri dari lima tahun sebelum ini kepada 10 tahun.

“Langkah ini penting bagi memastikan pemilik tanah tidak sewenang-wenangnya menjual tanah mereka. Isu jual tanah selepas mendapat hak milik ini serius dan permohonan yang dibuat begitu banyak. Sebab itu, kita mahu tempoh pindah hak milik ini dilanjutkan,” ujarnya.