Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar menegaskan kawasan yang didakwa diceroboh itu adalah kawasan perairan yang masih belum dimuktamadkan pemilikannya oleh Malaysia serta Indonesia.

“Kita sedia maklum mengenai kejadian yang berlaku Selasa lalu itu dan tahu yang ia berlaku di kawasan pertindihan di perairan Belawan, kira-kira 15 batu nautika dari Pulau Jarak.

“Kawasan perairan ini sebenarnya dituntut oleh Malaysia dan Indonesia. Jadi tindakan Maritim Malaysia sama sekali tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan kerja rasmi pertama ke Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang dekat sini hari ini.

Semalam, tular sebuah video dalam laman Facebook yang mendakwa Bot Pemintas Laju (FIC) Penggalang milik Maritim Malaysia mengejar kapal Penguat kuasa Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Mengulas lanjut, Zulkifli menjelaskan, pihaknya bertindak memintas kapal penguat kuasa Indonesia selepas mengesan kapal nelayan tradisional milik rakyat Malaysia ditahan dalam kawasan tuntutan bertindih.

Bagaimanapun, katanya, usaha yang dilakukan Bot Penggalang untuk menyelamatkan bot serta nelayan berkenaan tidak berhasil dan Maritim Malaysia menerusi Wisma Putra akan membuat permohonan supaya kesemua mereka yang ditahan dibebaskan. - UTUSAN ONLINE