Dalam temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily keluaran Ahad lalu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua buk­ti kepadanya.

“Saya amat marah kepada polis. Saya bertanya kepada mereka kenapa tidak memberi Anwar peluang perbicaraan?

“Mereka (polis) tidak memberitahu saya mengenai perkara itu pada awalnya tetapi kemudiannya memberi kesan ‘mata lebam’ kepada Anwar, tetapi saya berkeras supaya Anwar diberi peluang perbicaraan,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, jika dirinya seorang diktator, dia boleh terus menyumbatkan Anwar ke penjara daripada memberi peluang perbicaraan.

Pada November lalu, beliau turut menuduh polis yang menjadi penyebab peristiwa Ops Lalang 1987 yang menyaksikan 106 orang terdiri daripada aktivis awam, pemimpin agama, peguam serta pemimpin politik ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Pada waktu itu, Dr. Mahathir berkata, beliau turut menutup tiga akhbar termasuk The Star.

“Dari sudut pandang politik, saya tidak akan melakukannya. Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, saya berjanji kepada diri saya yang tidak akan mela­kukan apa-apa sahaja yang menyakitkan hati orang lain, namun, saya tidak punyai pilihan,” ujarnya.

Menurut Dr. Mahathir, beliau hanya berkuasa memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sebaliknya Majlis Tertinggi UMNO yang membuat keputusan kolek­tif untuk memecat Anwar sebagai Timbalan Presiden parti.

“Kami mempunyai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada pukul 4 pagi. Setiap orang diberi peluang bercakap dan mereka bukan sahaja tidak mahu Anwar dalam pentadbiran kerajaan sebaliknya turut melibatkan parti. Itu bukan keputusan saya,” katanya.