Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana apa yang dituntut oleh golongan itu selama ini adalah merupakan hak mereka.


Malah katanya, golongan peneroka adalah pejuang sebenar yang banyak berkorban kerana meninggalkan kampung halaman dan meneroka kawasan baharu yang serba ketinggalan.


“Mungkin selama ini Lim Kit Siang tidak tahu, tetapi kita yang mula mengasaskan dan mengenalkan konsep Felda, kita tahu peneroka-peneroka ini adalah pejuang sebenar. 


“Mereka meninggalkan kampung halaman, masuk ke kawasan yang serba ketinggalan malah ada yang sehelai sepinggang untuk mengusahakan kebun. Jika tidak kerana sifat-sifat yang baik yang ada pada mereka tidak mungkin peneroka hari ini menjadi peneroka yang begitu maju,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sarapan pagi bersama kanak-kanak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Pelangi di Tanah Rata di sini hari ini.

Menerusi laporan sebuah portal berita, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengikat peneroka Felda dengan hutang dan pinjaman mudah sehingga menyebabkan golongan itu hidup dengan bergantung kepada bantuan kerajaan. - UTUSAN ONLINE