Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO Bahagian Pagoh mementingkan jemaah dan perjuangan parti walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan yang amat sukar sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan yang diambil itu sangat berisiko dan bukan mudah kerana bekas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri datang dari bahagian berkenaan.

“Saya faham keadaannya terlalu sukar (untuk UMNO Pagoh membuat keputusan terus bersama-sama pucuk pimpinan UMNO). Saya faham rasa terima kasih (terhadap jasa dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin) masih ada dalam minda, itu hakikat dan memang budaya Melayu mengenang budi.

“Takkanlah habis madu sepah dibuang. Hakikatnya antara individu dan organisasi, kita utamakan organisasi dan jemaah,” ka­tanya ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Ahmad Zahid berkata, sifat taksub tidak perlu ada kepada pemimpin tetapi seharusnya kepada UMNO kerana pemimpin datang dan pergi sedangkan parti terus kekal dan menjadi keutamaan.

Beliau kagum dengan Ismail yang berjaya menerajui bahagian tersebut mengharungi segala ujian sebelum ini dan mengharapkannya tidak gentar dengan segala cabaran yang akan datang.

Timbalan Perdana Menteri mahukan semangat UMNO Bahagian Pagoh diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sekali gus mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh milik Barisan Nasional (BN).

“Kita mahu dalam tempoh enam bulan ini kerja keras, UMNO Johor harus melihat kita tidak punya waktu, kita kena siap sedia sekarang, kita tidak harus lagi layani perkara titik-bengit ini.

“Kita tidak harus ada dalam kepompong yang sempit, segala permasalahan mesti diketepikan, kita tidak boleh berpecah, hanya ada satu matlamat kemenangan iaitu di peringkat negeri dan Pusat,” katanya.