Terbaharu, Ketua UMNO bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday menasihatkan, Chong Sin menjaga kawasannya di DUN Mengkibol daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menambahkan kecelaruan rakyat.

“Ternyata pendapat ini menyerlahkan lagi pemikiran ekstrem pemimpin DAP yang jumud dan tidak meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang majmuk seperti mana yang kononnya menjadi hala tuju Malaysia baharu.

“Hakikatnya kerjasama yang sedang dirintis oleh UMNO dan Pas adalah berkaitan penyatuan ummah demi memelihara kedudukan agama Islam serta bangsa Melayu.

“Saya percaya orang bukan Melayu juga mengakui akan perpecahan orang Melayu Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md. Jais menambah, kerjasama UMNO dan Pas bukanlah semata-mata untuk memenangi pilihan raya termasuk menubuhkan kerajaan ala Taliban.

“Kerjasama ini adalah untuk merapatkan semula jurang yang telah memisahkan sesama bangsa dan membina semula silaturahim yang dituntut oleh Islam.

“Penyatuan ummah ini tidak sesekali ingin menindas kaum dan agama lain kerana Islam sentiasa mengajar umatnya tentang kedamaian,” katanya lagi.

Menurutnya, daripada menambah kecelaruan rakyat, Chong Sin dinasihatkan untuk menunaikan janji-janji yang dibuat ketika kempen pilihan raya lalu termasuk merealisasikan hasrat menyediakan ratusan peluang pekerjaan untuk anak-anak di Kluang, Johor.

Sebuah portal semalam melaporkan Chong Sin mendakwa insiden tembakan di Christchurch menjadi pengajaran kepada Malaysia tentang perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Chong Sin turut bimbang kerjasama UMNO dan Pas mampu menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama, bagaimanapun kenyataan itu ditarik balik selepas mendapat kecaman pelbagai pihak. - UTUSAN ONLINE