Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, walaupun Chee Teong tidak memegang jawatan tinggi dalam MCA, namun beliau merupakan calon paling sesuai kerana meru­pakan anak kelahiran Balakong dan menjadi ak­tivis di peringkat akar umbi.

“Jadi MCA menampilkan seorang yang bertenaga, berwibawa, mengetahui semua masalah yang berlaku dalam kawasan serta tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya,” katanya dalam majlis pengumuman calon di Wisma MCA di sini hari ini.

Kata Ka Siong, MCA juga akan menggunakan lambang partinya sendiri pada PRK itu.

PRK DUN Balakong akan diadakan pada 8 September ini berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki, 32, dipilih sebagai calon bagi mewakili parti itu dalam PRK DUN Balakong.

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Setia­usaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Siew Ki dipilih atas faktor sumbangan dan tugasnya yang berkesan di peringkat akar umbi sebelum ini selain pengalaman luasnya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selama dua penggal.

“Walaupun ada beberapa nama lain yang turut dicadangkan, namun atas syor dan pandangan daripada DAP Selangor, Jawatankuasa Pemilihan Calon yang mana saya sebagai pengerusinya telah bersetuju untuk memilih Siew Ki sebagai calon DAP bagi bertanding di DUN Balakong,” katanya.

Tambah Guan Eng, PRK DUN Balakong juga bakal menyaksikan logo dan bendera Pakatan Harapan akan digunakan buat pertama kalinya.

Katanya, DAP juga akan berusaha untuk memastikan peratusan keluar mengundi di PRK DUN Balakong akan lebih tinggi berbanding di PRK DUN Sungai Kandis.