Ikuti temu bual Pegawai Pengurus PRK berkenaan, KHAIRY MAAMOR dengan wartawan Utusan Malaysia, AIDA FAIZLEN IBRAHIM di Port Dickson, kelmarin.

 

UTUSAN: Bagaimana tuan melihat perjalanan PRK Parlimen Port Dickson secara keseluruhan sepanjang 14 hari tempoh berkempen?

KHAIRY: Mulai penamaan calon hingga ke hari ini, secara keseluruhannya proses PRK berjalan lancar. Baik dari segi pentadbiran, persiapan dan kempen PRK. Apa yang dapat saya lihat, tiada tindakan tidak matang antara calon-calon yang bertanding mahupun penyokong mereka. Pihak yang bertanding juga mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama yang baik dengan pasukan penguat kuasa sekiranya ditegur beberapa kesalahan kecil seperti memasang bahan kempen d itempat yang tidak dibenarkan. Jadi, proses PRK ini lebih tenang dan harmoni tanpa sebarang masalah yang rumit.

Berapa banyak aduan dite­rima berhubung perlanggaran peraturan pilihan raya?

Kami menerima lima aduan yang kebanyakannya aberkaitan kesalahan pemasangan bahan-bahan kempen seperti bendera menutup pandangan dan bersepah di atas jalan raya berikutan musim hujan dan angin yang kuat. Selain itu, dua aduan bertulis diterima berhubung penggunaan jentera kerajaan, berkempen di kem tentera dan menawarkan perkhidmatan tuisyen online secara percuma oleh calon yang bertanding. Kes-kes ini telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan seterusnya.

PRK kali ini dilihat bebas daripada insiden provokasi atau kekecohan. Komen tuan?

Mungkin penyokong sema­kin matang dan berfikiran lebih terbuka berbanding dahulu. Dalam sistem demokrasi, kita ada persaingan, pertandingan dan perebutan. Perkara ini boleh dilakukan dengan cara yang baik. Rakyat Malaysia sudah mempunyai tahap pemikiran yang ke hadapan dan tidak sewenangnya melakukan apa-apa tindakan dan provokasi kepada pihak-pihak lain. Ini secara tidak langsung mencerminkan imej yang cemerlang bukan sahaja di Malaysia tetapi di mata dunia.

Pesanan tuan kepada ejen-ejen calon serta penyokong mereka pada hari pengundian?

Kepada ejen-ejen calon, saya mohon kerjasama supaya tidak memakai logo parti. Kita tidak mahu menimbulkan suasana yang tegang apabila pihak kami tidak membenarkan mereka untuk masuk. Diingatkan juga, semasa penjumlahan rasmi undi nanti, saya berharap semua calon yang bertanding berada di dalam dewan tersebut dan sekurang-kurangnya seorang wakil calon harus ada bersama untuk memudahkan perjalanan penjumlahan sekiranya mereka diperlukan.

Kepada penyokong pula, saya minta supaya tidak berada di kawasan pusat mengundi selepas ditutup pada pukul 5:30 petang. Ini kerana mengikut pengalaman Pilihan Raya Umum lepas, mereka akan berkumpul beramai-ramai di depan pintu pagar pusat mengundi sehingga menyukarkan pihak tertentu untuk keluar membawa peti undi ke pusat penjumlahan. Jadi, para penyokong bolehlah terus ke tempat penjumlahan rasmi undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di mana kita menyediakan ruang untuk mereka berkumpul.

Nasihat kepada pengundi?

Bagi memudahkan proses mengundi, saya galakkan kepada semua pengundi untuk memuat naik aplikasi mysprsemak sebelum datang ke pusat mengundi di mana dengan hanya mema­sukkan nombor kad pengenalan, anda boleh menyemak saluran dan bilangan nama. Ini akan menjimatkan masa dan mereka tidak perlu beratur terlalu lama kerana maklumat sudah pun diperolehi lebih awal.

Juga suka saya ingatkan, sekiranya pengundi keluar mengundi pada sebelah pagi dan mendapati ramai yang ingin mengundi ketika itu, anda boleh mengundi pada sebelah petang bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi nanti.