Ini kerana berdasarkan pemerhatian, angka rasmi yang diumumkan tentang kehadiran orang ramai di Padang Kota Lama itu jauh tersasar daripada jumlah sebenar.

Setelah berbincang, kami sepakat untuk menulis hampir 5,000 sahaja hadir walaupun ada rakan dari akhbar berbahasa Cina 'mencadangkan' sekitar 3,000 orang sahaja.


Portal propembangkang, Malaysiakini juga tidak melaporkan 50,000 orang hadir namun 'bermurah hati' apabila memberitahu pembacanya bahawa 15,000 hadir.


Tetapi portal itu membandingkan dengan jumlah kehadiran pada ceramah-ceramah terdahulu yang mana jumlah pengunjung 'melimpah' hingga ke tepi jalan utama.


Benar, lima tahun dahulu, Padang Kota Lama menjadi bukti betapa hebatnya pengaruh DAP ketika mengadakan ceramah di tempat terbuka.


Penulis masih ingat, beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP menjadikan kawasan tumpuan pelancong itu sebagai medan untuk menguji sokongan rakyat kepada parti dan ketika itu mereka berjaya.


Ceramah hanya bermula pada pukul 9 malam tetapi seawal pukul 6 petang, puluhan ribu penyokong DAP berarak ke Padang Kota , mengibarkan bendera DAP dan melaungkan slogan 'Ubah dan Ini Kalilah' - persis suasana perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, suasana berkenaan tidak berlaku semalam sekali gus strategi penulis dan rakan media meletak kenderaan sejauh dua km dan berjalan ke lokasi ceramah tidak membantu kerana kawasan sekitar langsung tidak sesak.

Sebenarnya mudah difahami faktor separuh padang pun tidak penuh ketika sambutan majlis berkenaan malam tadi  walaupun penganjur menyediakan 10 gerai makanan percuma kepada pengunjung. 


Rakyat negeri ini sudah bosan mendengar janji manis yang ditaburkan DAP kononnya mereka akan mengambil alih pentadbiran negara yang tidak  menjadi kenyataan kerana majoriti pengundi Melayu masih memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.


Perkara ini diakui sendiri oleh penceramah yang hadir semalam termasuk Presiden Parti, Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Selain itu, isu setempat yang tidak diselesaikan juga menjadi faktor penduduk negeri ini 'memboikot' ceramah berkenaan walaupun menampilkan beberapa tokoh besar pembangkang seperti Lim Kit Siang; Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Isu kekurangan rumah kos rendah dan mampu milik di bahagian pulau, masalah banjir yang berulang (DAP berjanji untuk mengatasi banjir dalam tempoh sembilan bulan memerintah selepas mengambil alih kerajaan negeri pada 2008), serta kritikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar juga menyebabkan sokongan rakyat negeri ini semakin pudar kepada DAP.

Berbalik kepada isi kandungan ceramah, boleh dikatakan tiada perkara baharu yang disampaikan kerana setiap penceramah hanya mengulang fakta yang disampaikan dalam ceramah terdahulu, cuma berbeza lokasi sahaja.

Paling mencuri perhatian, ialah 'pengumuman' Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkenaan penggantinya jika beliau 'tiada' apabila menamakan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan mengambil alih tugasnya.

Apa yang diperhatikan, aura Guan Eng juga tidak terserlah kerana pengunjung mula 'angkat kaki' ketika beliau sedang berucap walaupun jam baru menunjukkan pukul 10.30 malam.


Sekiranya majlis semalam sebagai eksperimen DAP untuk menguji sokongan, maka mereka hanya layak diberikan 'B minus' sahaja.