Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peraturan itu juga wajar dilihat kembali untuk memastikan semua pihak tidak melanggar syarat dan ketetapan sedia ada termasuk bagi mengelak perkara sama berulang.

Naib Presiden UMNO itu berkata, pihak pengurusan masjid harus tahu dan tidak harus bertolak ansur dalam perkara tersebut kerana melibatkan sensiviti dan agama Islam.

“Di Johor kita ada adab dan peraturan. Kita juga kena tengok di tempat lain (larangan yang sama)...Kalau ada wakil rakyat nak buat majlis serah sumbangan tidak perlu dalam masjid.

“Lagila kalau tidak libatkan sumbangan, buat apa buat majlis dalam masjid, takkan nak ceramah politik pula. Kalau mahu bagi sumbangan buatlah di luar masjid atau tempat lain, bukan dalam masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bukti Megah Sdn. Bhd. di Banafee Seri Alam, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pembangkang negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO negeri, Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin dan Pengerusi Eksekutif Bina Megah Sdn Bhd., Datuk Abdul Halim Suleiman.

Pada 10 Mei lalu, Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong menyampaikan sumbangan dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, namun dituduh pihak tertentu berceramah politik.

Berikutan itu pada 16 Mei lalu Sultan Johor bertitah dan melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan Hok Liong itu yang disifatkan Baginda sebagai biadab dan tidak beretika.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perbuatan itu jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang dibina sejak zaman berzaman di negeri ini selain mempunyai kepentingan tertentu walaupun sudah dimaklumkan tidak boleh berpolitik dalam masjid.

Hok Liong kemudiam menyatakan kesediaan memohon maaf kepada Sultan Johor sekiranya benar-benar didapati melakukan kesalahan semasa membuat pengumuman di masjid itu yang disifatkannya sudah dimanipulasi pihak tertentu dengan mendakwanya bercerah politik dalam masjid. - UTUSAN ONLINE