Kerjasama baharu ini dilihat amat penting demi perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, selain bekerjasama dengan Pas, beliau mencadangkan supaya UMNO memupuk hubungan baik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, penyatuan UMNO dan Bersatu sebagai platform baharu politik bersama kerajaan adalah sesuai buat masa sekarang.

“Ini demi perpaduan Melayu yang merupakan masyarakat majoriti dan bagi memperkukuhkan usaha memaju dan membangunkan Malaysia. Ketokohan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak harus dipinggirkan. Biar berbeza platform parti tapi peranan dan juga usaha ke arah perpaduan dan penyatuan harus juga melibatkan Dr. Mahathir dan partinya.

“Saya cadangkan supaya proses memulihkan hubungan silaturahim bersama Dr. Mahathir dan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas mengenai sambutan ulang tahun ke-73 UMNO kelmarin yang secara sederhana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini baru-baru ini.

Tambah Md. Shukri, penyatuan ini penting bagi memupuk semula fokus perpaduan dan kerjasama baik antara sesama parti Melayu dan juga memelihara sifat Malaysia yang majmuk.

“Ini realiti yang perlu UMNO dan Bersatu termasuk Pas dan lain-lain parti fahami. Janganlah kerana pertembungan elit politik maka rakyat dan orang Melayu menjadi mangsa percaturan yang tiada kesudahan,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut, iktibar kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 bukan sahaja harus disambut dengan kedukaan dan rungutan, tapi perlu dimulai dengan atur strategik bersifat realiti politik semasa dengan mengambil kira keadaan rakyat dan negara.

Katanya, kepemimpinan sedia ada harus terbuka menerima proses pembaharuan yang terbuka dan keluar dari kepompong elitis serta kepemimpinan yang berlegar pada kelompok tertentu sahaja.

“Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dilihat mampu meneruskan perundingan perpaduan Melayu termasuk dengan Dr. Mahathir bagi kebaikan agama bangsa dan tanah air. Maka, UMNO harus terbuka dan berfikir kepada politik realiti,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE