Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, Ahli Parlimen Lenggong itu berkongsi pandangan mengenai peluang BN mengekalkan Parlimen tersebut.

UTUSAN: Adakah Datuk yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi di Cameron Highlands?

SHAMSUL ANUAR: Berdasarkan cara bekerja jentera parti, saya yakin kita akan menang. Ini ditambah dengan kemampuan calon, Ramli Mohd. Noor untuk bersama-sama penduduk tempatan berjuang mewakili mereka pada masa akan datang. Lebih penting, kemampuan rakyat dalam menilai dan memban­dingkan prestasi BN dan pihak lawan pada masa sekarang.

Adakah isu membabitkan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini beri kelebihan pada BN?

Biarlah rakyat yang menilai kerana mereka bijak dan tahu apa yang berlaku. PRK ini diadakan pun kerana ada petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu atas alasan wujud amalan rasuah. Tetapi sekarang PH pula yang buat (beri wang) dan bukti dah jelas. Saya berharap mereka (rakyat ) terjemahkan ketika mengundi nanti.

Bagaimana dengan sokongan Pas?

Kerjasama Pas dan BN lebih cantik dan tersusun berbanding PRK sebelum ini. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menyatakan pendirianya. Kita memohon supaya pengundi Pas dalam PRU-14 lalu akan menyokong kita.

Difahamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai isu akan bersama-sama jentera berkempen. Adakah boleh memberi implikasi buruk nanti?

Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-ma­sing. Jika kita bersatu dan berge­rak bersama-sama, gabungan kekuatan akan terhasil. Tambahan pula, kita sendiri tidak boleh menafikan sumbangan beliau (Najib) kepada penduduk terutama di Felda Sungai Koyan sewaktu BN memerintah.

Berapa peratus keyakinan Datuk terhadap kemenangan calon dalam PRK ini?

Saya yakin 70 peratus.