Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, dipilih atau tidak termasuk kalangan wakil rakyat sedia ada bergantung kepada langkah untuk memastikan kemenangan parti.


“Yang paling penting calon yang boleh diterima oleh rakyat, kita ada metadologinya sendiri. Langkah presiden telah teruji sebelum ini ternasuk semasa di Sarawak, Kuala Kangsar, Sungai Besar dalam proses memilih calon.


“Kita nak pastikan calon yang kita cadangkan yang boleh diterima oleh rakyat. Yang penting turun ke bawah dan pastikan rakyat terima perkhidmatan kita.


“Dengan cara itu, pucuk pimpinan akan mengetahui sama ada calon termasuk wakil rakyat sedia ada boleh dicalonkan semula.


Malah kedudukan saya sendiri belum tentu kerana hak untuk tentukan berada di tangan presiden,”ujarnya.


Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di sini hari ini.


Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.


Menyentuh mengenai saranan Mohd Jidin agar kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Setiu dikekalkan sebagai calon bagi terus memberikan kemenangan kepada parti, beliau secara peribadi berpendapat mereka telah memberikan khidmat yang baik.


“Wakil-wakil rakyat di sini mendapat sokongan perwakilan dan rakyat. Sekiranya kedudukan mereka nak diubah, saya nak tahu juga siapa lebih layak,”ujarnya.


Setiu dianggap salah satu deposit UMNO dan Barisan Nasional setelah menguasai kesemua kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.-UTUSAN ONLINE