Beliau berkata, anggaran jumlah pencalonan itu dibuat berdasarkan jumlah borang pencalonan yang dijual sebelum ini dan kehadiran calon untuk mendaftar sejak awal pagi ini.

“Lebih 1,000 borang pencalonan yang kita telah jual menunjukkan peningkatan lebih 50 pe­ratus berbanding sebelum ini.

“Semua berlaku pertandingan di semua 26 cabang PKR di Sabah dan kebanyakannya kita jangkakan akan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini proses pendaftaran calon berjalan lancar dan proses pendaftaran berakhir pada 5 petang ini.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew yang turut menghantar borang pencalonan bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu berkata, pendaftaran ramai calon di kebanyakan cabang menunjukkan demokrasi dalam parti semakin subur.

“Saya melihat lebih daripada dua calon yang mendaftar di semua 26 cabang PKR di Sabah dan saya lihat ini adalah persaingan sihat kerana kita mengamalkan proses demokrasi,” katanya. – BERNAMA