Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, ini kerana sebelum ini sudah menyatakan kesediaannya berundur bertujuan memberi laluan kepada muka baharu menduduki kerusi berkenaan.

"Ini satu penghormatan kepada saya tapi saya serba salah kerana (permintaan itu) dibuat secara terbuka dan bukan secara tertutup. Apapun saya akan buat keputusan terbaik untuk parti dan Parlimen Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang di ruang legar Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini sebentar tadi.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO semasa berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Johor Bahru semalam menyatakan harapan supaya Shahrir tidak akan berundur sekali gus terus mempertahankan kerusi parlimen kawasan itu pada PRU-14.

Menurut Najib, harapan itu disuarakan kerana yakin dengan 'Shahrir factor' yang disifatkan sebagai satu sebab mengapa Johor Bahru masih kekal milik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Shahrir, 68, sudah beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk tidak bertanding dalam PRU-14 bagi memberi peluang kepada pemimpin muda menggantikannya. - UTUSAN ONLINE