Ketua Setiausaha Bahagian, Ibu pejabat UMNO, Datuk Norazuwan Aziz berkata, senarai tersebut akan dikeluarkan selepas semua calon disaring mengikut syarat kelayakan yang digariskan dalam Perlembagaan parti serta Jabatan Insolvensi.

“Contohnya untuk bertanding Majlis Tertinggi (MT) perlu pernah menjadi ahli MT dan ahli jawatankuasa bahagian sekurang-kurangnya sepenggal atau tiga tahun.

“Proses saringan masih belum selesai dan mengambil masa kerana melibatkan kira-kira 25,000 calon termasuk mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian,” katanya ketika ditemui selepas proses cabutan nombor calon bagi pemilihan UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Sementara itu, tambah beliau, senarai penuh calon dan nombor pencalonan dijangka dimuat naik di laman web UMNO Online pada Rabu ini selain menerusi siaran akhbar rasmi Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari sama.

“Kita masukkan nama-nama calon yang layak bertanding mengikut nombor calon dalam proses cabutan undi tadi.

“Mungkin ada calon yang digugurkan pencalonannya dan nombor yang diterima tadi secara automatik terbatal,” katanya. - UTUSAN ONLINE