Bagi pencalonan anak muda di Kelantan, UMNO ternyata mendahului parti-parti lain seperti Pas dan PAN apabila meletakkan ramai kepemimpinan Pemuda UMNO sebagai calon.

Di peringkat kerusi Parlimen, Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas, Nor Azmawi Ab Rahman, diletakkan sebagai calon di Parlimen Pasir Mas manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Pemuda UMNO Ketereh yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohamad Azam Ismail, diletakkan sebagai calon di DUN Kadok.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang, Akbar Salim yang diberikan peluang untuk bertanding di DUN Apam Putra diikuti oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Eriandi Ismail yang diberikan peluang untuk bertanding di DUN Kemuning.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian, Bakri Yusoff yang diberikan peluang untuk bertanding di DUN Pasir Tumboh.

Malah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian, Nurul Amal Mohd. Fauzi, diletakkan sebagai calon di DUN Demit.

Tidak ketinggalan, calon-calon muda lain yang tidak berada di dalam barisan kepemimpinan utama Pemuda UMNO Kelantan yang turut tersenarai sebagai calon.

Antaranya Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi yang turut tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Bharu, Mohamad Fareez Noor Amran di DUN Chempaka dan Muhammad Afifi Muhammad Noor di DUN Chetok.

Calon-calon muda dari UMNO yang lain ialah Wan Rakemi Wan Zahari di DUN Kemahang, Mohd. Hanafiah Abdul Aziz di DUN Limbongan, Amran Arifin di DUN Paloh dan Mohd. Syahbuddin Hashim di DUN Galas.

Adalah sangat menyegarkan untuk melihat ramai muka baharu dari golongan muda yang ditonjolkan oleh UMNO Kelantan.

Dalam pada itu, Pas Kelantan hanya menyenaraikan Ketua Pemuda Pas Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sebagai calon di kerusi Parlimen Pasir Mas sementara PAN pula hanya menamakan Ketua Pemuda PAN Kelantan, Zulhazmi Hassan sebagai calon di kawasan DUN Panchor.

SITI NORHAWA MOHD. ALI / huss