Dalam surat terbuka kepada Pergerakan Pemuda UMNO, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat, dalam usaha untuk mereformasi UMNO, pergerakan tersebut perlu untuk menunjukkan dedikasi kepada belia dengan jawatan Ketua Pemuda dipimpin oleh mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Ini sejajar dengan Dasar Belia Malaysia yang telah dibentangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menetapkan had umur belia kepada 30 tahun adalah satu idea besar bagi memastikan aliran pemimpin-pemimpin belia boleh memberikan idea-idea yang segar untuk melengkapkan pembinaan negara.

"Calon-calon baru UMNO untuk pemimpin Pemuda adalah masing-masing berusia 42 tahun. Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun yang mana secara peribadinya saya amat menghormati mereka. Akan tetapi, calon-calon ini tidak memenuhi definisi belia yang dibentangkan.

"Situasi diburukkan lagi apabila Jamal Yunos, seorang individu yang menyalahi undang-undang dan tidak menyerahkan diri kepada pihak berkuasa, juga mencalonkan diri untuk merebut Ketua Pemuda UMNO, yang juga berusia 48 tahun," kata Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PPBM dan berusia 24 tahun.

Pencalonan tersebut, menurut Syed Saddiq adalah sesuatu yang memalukan dan terpesong daripada apa yang dijanjikan Khairy Jamaluddin pada tahun 2015 dan Dasar Belia Malaysia dilihat sebagai polisi populis hanya untuk menarik undi belia.

Syed Saddiq berkata, Pemuda UMNO sejak dahulu adalah tapak untuk orang baru dan yang melonjak naik untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin akan datang yang boleh negara harapkan.

Antaranya Datuk Seri Hishamuddin Tun HUssien berusia 38 tahun ketika  memegang posisi Ketua Pemuda UMNO sebelum Khairy Jamaluddin mengambil tempat itu ketika beliau berusia 33 tahun.

"Boleh difahami bahawa meletakkan calon di bawah usia 30 tahun adalah sukar, tetapi melakukan pemilihan dengan calon di bawah usia 40 tahun adalah permulaan yang baik.

"Saya percaya UMNO mempunyai jumlah calon berkualiti yang besar dan boleh disokong di bawah usia 40 tahun," kata Syed Saddiq.-UTUSAN ONLINE