Mohd. Fuad Mat Jali
MOHD. FUAD

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berpandangan, Pas ketika ini sedar perubahan demografi serta kehendak politik digital yang menuntut mereka untuk mempelbagaikan latar belakang calon.

“Melihat kepada calon-calon yang diketengahkan Pas, mereka tidak hanya memilih ulama semata-mata namun turut menyenaraikan calon baru seperti bekas pemain bola sepak Kedah dan kebangsaan, Muhamad Radhi Mat Din dan penceramah selebriti terkenal, Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.

“Kepelbagaian calon ini sememangnya diperlukan dalam arena politik negara kerana dapat menyantuni semua lapisan masyarakat selain menarik pengundi-pengundi muda untuk dekat dengan parti mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fuad, calon-calon baru yang disenaraikan Pas mungkin akan diletakkan di kawasan-kawasan sesuai dan tidak hanya memfokuskan kepada kawasan luar bandar sahaja.

Katanya, kriteria calon Pas sememangnya tidak akan berubah kerana kepemimpinan parti tersebut akan memilih individu yang mencerminkan nilai keagamaan sejajar dengan aspirasi mereka.

"Keunikan Pas adalah mereka tetap mementingkan aspirasi parti dalam memilih calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya sejak dahulu lagi.

"Perkara yang paling penting adalah setiap calon-calon ini mampu menunaikan manifesto mereka dan memenuhi permintaan rakyat yang berbilang kaum dalam negara," katanya. - UTUSAN ONLINE